AZMI sedang menyoal empat pendaki yang sesat. FOTO ihsan bomba
Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Amran Yahya

Kuala Pilah: Angkara mahu mencuba laluan berlainan, empat lelaki warga Singapura sesat di Gunung Angsi, di sini, hampir 10 jam sebelum ditemui semula pasukan bomba, malam tadi.

Difahamkan, keempat-empat mangsa dikenali sebagai Lim Jing Yang, 27, Chua Han Hong, 25, Nigel Quek Wen Cong, 22, dan Valen Tan Tao Kuan, 19, antara 39 peserta yang menyertai aktiviti pendakian Gunung Angsi berkenaan bermula 8 pagi tadi.

Seorang mangsa, Valen berkata, dia bersama 14 rakannya warga Singapura menaiki bas dari Singapura kira-kira 12 tengah malam sebelum tiba di Gunung Angsi pada 6 pagi tadi.

"Kami bersama 24 lagi pendaki dari Malaysia mula mendaki jam 8 pagi dari trek Bukit Putus dan mahu menuruni semula puncak gunung jam 11.30 pagi tetapi saya dan tiga rakan mahu mencuba laluan berbeza iaitu memilih trek Ulu Bendul.

"Malangnya, ketika perjalanan turun cuaca hujan dan terdapat pokok yang tumbang menyebabkan kami tidak dapat melihat tanda arah. Kami cuba mencari laluan turun tapi tidak berjaya menyebabkan kami menghubungi rakan memberitahu sudah tersasar dari laluan," katanya ketika ditemui di Hutan Lipur Ulu Bendul, di sini, malam tadi.

Katanya, rakannya menghubungi talian kecemasan 999 meminta bantuan sambil mereka berusaha mencari jalan dan berjaya keluar di sebuah kilang elektronik di Senawang, dekat sini, lebih 25 kilometer dari Gunung Angsi.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.30 malam dan seramai 29 pegawai serta anggota ke lokasi untuk mencari dan menyelamat mangsa.

Menurutnya, pasukannya turut dibantu Jabatan Perhutanan, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

"Kita berjaya menghubungi salah seorang mangsa dan mereka ditemui di sebuah kilang elektronik di Senawang dalam keadaan selamat. Kami membawa mereka ke Hutan Lipur Ulu Bendul untuk diambil keterangan dan diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 January 2015 @ 10:51 PM