Beberapa pose menarik Jamal ketika di Tanah Suci Makkah.
Oleh Ramlah Zainal .
ramlah@hmetro.com.my

.

Impian Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah untuk mengerjakan ibadah haji yang juga Rukun Islam kelima akhirnya kesampaian pada usia mencecah 55 tahun. Penghibur terkenal itu berangkat ke Tanah Suci Makkah pada 26 September selamat kembali ke tanah air Rabu lalu.

Bagi pemilik nama sebenar, Jamal Ubaidillah Ali ini, peluang menjadi tetamu Allah adalah pengalaman terindah yang sukar untuk diluahkan dengan kata-kata.

"Walaupun berdepan de­ngan masalah visa dua hari sebelum ke Makkah, akhirnya dengan izin Allah SWT segala urusan dipermudahkan. Sebagai hambaNya, saya percaya sudah sampai seru saya ke sana dan terpilih menjadi tetamu Allah SWT sempena musim haji tahun ini," katanya.

Jamal berkata, dia sangat bersyukur kerana di­anugerahkan kesihatan yang baik sepanjang mengerjakan ibadat itu.

"Berbanding mengerjakan umrah, cabaran ketika me­ngerjakan ibadah haji juga besar kerana kita berdepan de­ngan cuaca panas mencecah 42 darjah celcius. Bukan saja pada waktu siang tetapi juga waktu malam.

"Alhamdulillah, saya dianugerahkan kesihatan yang baik sepanjang berada di Tanah Suci. Seperti jemaah lain, saya cuma batuk dan selesema yang ringan kerana perubahan cuaca di sana," katanya.

Apa yang penting, kata Jamal, dia dapat mengerjakan semua rukun haji dengan lancar seperti ditetapkan.

"Antaranya wukuf di Arafah, melontar di Jamrah dan bermalam di Mina. Cuma saya terkilan tidak dapat mencium Hajarul Aswad kerana tidak sanggup bersesak dengan ribuan jemaah yang membanjiri sekitar Kaabah.

"Saya juga sempat buat ibadah korban dengan menyembelih dua ekor kambing untuk arwah ibu bapa dan untuk diri sendiri. Antara doa saya ketika di sana agar dianugerahkan kesihatan yang baik untuk meneruskan karier seni, berjaya dalam perniagaan, doa untuk anak supaya mereka menjadi insan soleh, berjaya di dunia dan akhirat," katanya.

Jamal ditemui pada majlis kesyukuran meraikan kepulangannya dari mengerjakan ibadah haji di kediamannya di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor, kelmarin. Majlis yang ditaja rakan kongsi perniagaannya itu dianjurkan Kelab Peminatnya dan dihadiri ang­gota keluarga terdekat dan penduduk kawasan itu.

Bercerita pengalaman di Tanah Suci, kata Jamal, dia turut bermimpi melihat arwah bapanya.

"Saya bermimpi bertemu dengan arwah bapa sebanyak tiga kali. Kali pertama sebelum berangkat ke Tanah Suci dan lagi dua kali ketika me­ngerjakan ibadah haji di sana. Dalam mimpi itu, saya lihat arwah bapa tersenyum de­ngan wajah ceria.

"Insya-Allah, jika ada rezeki, saya bercadang membawa dua anak, Osama dan Zaki mengerjakan haji," katanya.

Tidak perlahan aktiviti seni

Gelaran haji bukan penghalang buat Jamal meneruskan karier seninya seperti biasa. Malah, agenda seni menyanyi yang popular dengan lagu Sepi Seorang Perindu, Angin Senja, Kau Lupa Janji dan Azura ini juga padat dengan memenuhi pelbagai undangan persembahan anjuran syarikatnya sendiri dan korporat sampai sekarang.

"Saya masih Jamal yang sama dan tidak terfikir pun untuk meninggalkan bidang nyanyian selepas mengerjakan haji. Maklumlah, ia rezeki saya menyara keluarga sejak lebih tiga dekad lalu.

"Namun, saya juga merancang untuk buat perubahan diri secara perlahan-lahan dan berusaha menjadi umat Islam yang lebih baik dari sebelum ini. Tidak perlulah saya berserban dan membuat perubahan diri secara drastik semata-mata sebab baru balik dari haji.

"Buat permulaan, menjaga solat lima waktu, berpuasa, menunaikan zakat dan menjadi bapa yang baik untuk anak-anak saya," katanya.

Ditanya sama ada dia ingin menghasilkan album nasyid mahupun bercorak keagamaan, Jamal berkata, dia belum ada perancangan ke arah itu.

"Saya masih kekal dengan genre pop yang sudah sebati dengan diri sejak dulu. Sebenarnya, banyak lagu popular saya bercorak kerohanian seperti Kekasih Awal dan Akhir yang mempunyai mesej tersirat dan cukup mendalam jika dihayati maksudnya itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Oktober 2014 @ 5:00 AM