TAMPIL sebagai produk kraf dwifungsi.

Piuter adalah campuran kandungan 97 peratus bahan timah bersama bahan lain seperti tembaga dan perak.

Ia digunakan bagi me­nguatkan hasil produk kraf selain menjadikannya tahan lama.

Industri piuter berkembang dan bertitik tolak daripada industri perlombongan bijih timah yang pernah melonjak nama negara ini sebagai salah sebuah pengeluar utama bijih timah dunia.

Pertukangan piuter mula diperkenalkan pada tahun 1885 apabila seorang pembuat piuter dari China memulakan perusahaan itu berikutan kekayaan bijih timah negara ini.

Ia bermula dengan pembuatan barangan rumah dan istiadat agama seperti teko dan bekas kemenyan.

Tukang piuter mula mencipta produk ala Eropah untuk orang British dan ekspatriat pada tahun 1960-an dan inovasi ini terus melonjakkan industri piuter negara.

Kini, industri piuter menghasilkan pelbagai produk cenderamata korporat seperti pinggan mangkuk, set teh, bingkai gambar dan aksesori meja selain ada diimport ke luar negara.

Bagi pelancong luar negara, piuter antara cenderamata yang paling digemari untuk dibawa pulang.

Malah, produk piuter boleh dijadikan pelengkap dekorasi jika bijak menghiasi ruang kediaman.

Bersifat mudah dibentuk, lembut dan berkilau, piuter amat sesuai dijadikan hiasan pada produk kraf siap.

Keunikan produk kayu hanyut yang biasanya dijadikan bekas buah dan pasu hiasan tampil lebih menyerlah apabila menerima sentuhan piuter.

Turut dijadikan produk nilai tambah hiasan dalaman ialah kusyen, pengikat langsir, kayu langsir dan pelapik meja.

Sifat semula jadi piuter yang tidak berkarat menjadikan produk itu sesuai untuk hiasan dalam dan luaran.

Jika mahu mendapatkan produk piuter dengan harga berpatutan, kunjungi anak syarikat Kraftangan Malaysia iaitu Karyaneka Sdn Bhd.

Maklumat lanjut di www.kraftangan.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 January 2015 @ 5:01 AM