KOTA BHARU: Seorang lelaki putus tangan kanan selepas kereta dipandunya terbabas dalam kemalangan di Kilometer 40.8 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Machang, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang DSP Kamal Azural Mohamed berkata, dalam kejadian pada 2.30 petang itu, kereta yang dipandu Muhamad Ruqaimin Rusdi, 30-an, dari arah Kuala Krai telah memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah lori dari arah Kota Bharu.

"Mangsa putus tangan kanan akibat pelanggaran itu dan kini menerima rawatan lanjut di Hospital Universiti Sains Malaysia manakala pemandu lori tidak cedera," katanya.

Menurut Kamal Azural, tangan mangsa tercampak sejauh 15 meter dari lokasi kemalangan.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Machang Abdul Kadir Che Ya berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.45 petang dan sebuah jentera bersama-sama sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 9:48 PM