FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PROTEGE Elica mencipta kejutan apabila muncul sebagai juara Mentor Milenia 2017 yang berlangsung di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam tadi.

Elica atau nama sebenarnya Angelica Paujin, 17, yang juga protege kepada mentor, Akim, meraih RM100,000 tunai berserta trofi, telefon bimbit Neffos X1 Max dan pakej percutian ke London.


JUARA Mentor Milenia 2017, Elica (kiri) bawa pulang RM100,000 tunai, trofi dan telefon bimbit, Neffos X1 Max serta percutian ke London di Plaza Alam Sentral, Shah Alam. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

Elica menyampaikan lagu Samar Bayangan serta berduet dengan Hael menerusi lagu Ceritera Cinta.

Tempat kedua diraih oleh Usop yang menyampaikan lagu Bayang dan berduet dengan Salma menerusi lagu Malam.

Peserta bernama sebenar Muhammad Saiful Naim Mohd Noor, 20, dari Kedah ini memenangi hadiah wang tunai RM50,000 beserta trofi.

Along yang menyampaikan lagu Merisik Khabar dan berduet dengan Siti Nordiana dalam lagu Memori Berkasih pula menduduki tempat ketiga.

Along atau nama sebenarnya Mohamad Rozaimi Rosli, 20, membawa pulang RM20,000 beserta trofi.

Tempat keempat jatuh kepada Syeera atau nama sebenarnya Nur Syaheera Abd Aziz, 19, dan berjaya membawa pulang RM10,000 berserta trofi.


ELICA bersama artis jemputan, Hael Husaini membuat persembahan pada pentas akhir Mentor Milenia 2017 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

Elica juga menerima anugerah Protege Pilihan Terbaik Neffos dan berjaya membawa pulang RM10,000.

Mentor Milenia 2017 ditaja oleh Neffos selaku penaja utama serta Qu Puteh Millenia Champ Champ selaku penaja bersama dan disiarkan secara langsung pada 9 malam, setiap Ahad, di TV3.

Pentas final membariskan juri profesional terdiri daripada Datuk Hattan serta Fauziah Ahmad Daud dan dihoskan oleh Issey dan Marsha.

Penonton turut dihiburkan dengan persembahan daripada kumpulan Nidji yang menyanyikan lagu Biarlah dan Bila Bersamamu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 11:24 PM