GAMBAR ini adalah ihsan Fb Infor Cegah Jenayah Kulim
Azahar Hashim
am@hmetro.com.my


KANAK-KANAK perempuan patah kaki akibat tersepit pada rim roda belakang ketika membonceng motosikal ditunggang ibunya untuk ke sekolah di Taman Bandar Mahkota, di Kulim, hari ini.

Nur Amirah Md Romlan, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular itu terpaksa menahan kesakitan dalam keadaan duduk di atas pelana motosikal pada kejadian 6.55 pagi.

Dia kemudiannya ditenteramkan oleh ibunya dan orang awam yang melalui tempat kejadian sebelum diselamatkan anggota bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech, Penolong Penguasa Bomba Mohd Azizi Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.06 pagi.

GAMBAR ini adalah ihsan Bomba dan Penyelamat Malaysia

Katanya, satu jentera dan ambulans Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) dan lima anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Anggota bomba melakukan kerja menyelamat mengunakan peralatan khas bagi mengeluarkan kaki murid itu dari rim roda belakang motosikal.

“Budak itu kemudian diserahkan kepada kakitangan ambulans untuk dibawa ke Hospital Kulim.

"Murid itu patah kaki dan operasi tamat pada 7.37 pagi," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 10:14 AM