Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


Saratok: Lelaki dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki bersama 10 lagi individu dipukul ombak di Kuala Paloh, Kabong, Saratok, tengah hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12 tengah hari menyebabkan AbangMadehan Abang Awi, 43, hanyut dipukul arus deras manakala 10 lagi penumpang dan kru bot berjaya berpaut pada tong dan berenang ke pantai yang terletak kira-kira 300 meter dari lokasi karam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, bot berkenaan dalam perjalanan dari Kabong ke Paloh selepas selesaimengambil bekalan air mineral di Pekan kabong untuk diserahkan kepada penduduk di Kampung Paloh.

Menurutnya, hujan lebat menyebabkan laut bergelora sebelum bot berkenaan karam, manakala penumpang dihanyutkan arus deras.

"Pusat Gerakan Operasi Bomba menerima panggilan kecemasan daripada seorang anggotanya yang turut berada di dalam bot berkenaan dan mangsa yang hilang adalah abang kandung anggota terbabit.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan dengan bantuan penduduk setempat. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 4:42 PM