SOPAN dengan busana tradisional.
ANGGUN menyerlah.
SOPAN dengan busana tradisional.
MENYERLAHKAN keanggunan pemakai.
KOLEKSI Syawal 2017 Bahari Asyek.
SELESA dipakai ke semua acara.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Apabila memperkatakan mengenai busana tradisi nenek moyang, pasti tergambar keindahan dan kesantunan pemakaian baju kurung dan kebaya, apatah lagi jika dipadankan dengan fabrik seperti kapas yang menambah keaslian busana berkenaan.

Sungguhpun menyaksikan kemunculan pelbagai fesyen dan trend terkini, busana tradisional tetap menyerlahkan keanggunan pemakai dek potongannya yang menggambarkan kesopanan gadis Melayu sejak zaman dulu.

Pastinya penggunaan material kapas selain potongan busana menarik memberikan keselesaan ketika dipakai pada musim panas juga sesuai digayakan ke semua destinasi.

Sempena Syawal yang bakal menjelang, Busana Bahari Asyek mengorak langkah dengan menghasilkan pelbagai fesyen busana menarik khusus untuk Aidilfitri.

Pemiliknya, Zahalina Ab Rahman berkata, pelbagai fesyen dan busana menarik yang diilhamkan daripada fesyen tradisi nenek moyang dijadikan sumber inspirasi sempena koleksi Syawal 2017 ini.

“Lebih unik apabila koleksi busana tahun ini menggunakan fabrik kami sendiri yang menjadi antara kelebihan dan kelainan busana kami berbanding yang lain.

“Rekaan dan potongan busana mungkin boleh ditiru tetapi padanan dengan kualiti fabrik kami sendiri menjadikan koleksi ini eksklusif,” katanya.

Menurutnya, semua fabrik Bahari Asyek dicari, dipilih dan diimport sendiri dari luar negara.

“Kami banyak menggunakan fabrik berteraskan kapas kerana ia sesuai dan selesa dipakai di negara ini selain menyerap peluh serta tidak merimaskan.

“Sempena Aidilfitri ini, kami menawarkan 24 koleksi baru dalam pelbagai corak dengan penambahan sulaman, perincian serta warna menarik,” ujarnya.

Zahalina berkata, antara koleksi busana ditawarkan ialah Kurung Kapas Bercorak, Kurung Riau, Kebaya Riau, Kebaya Pahang, Kurung Pahang, Kebaya Cik Siti Wan Kembang, Kebaya Pendek 4 Dara, Kurung Archipelago dan Kurung Moden.

“Semua koleksi kami sesuai digayakan tanpa mengira acara dan tempat serta selesa.

“Pelanggan juga tidak perlu risau mengenai soal harga dan saiz kerana kami menawarkan harga berpatutan dengan kualiti busana terbaik,” katanya.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan fabrik istimewa dan busana sempena Syawal ini boleh berkunjung ke butik Bahari Asyek di Shah Alam atau melayari laman Facebook Bahari Asyek dan e-mel ke bahariasyekyahoo.com.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 12:01 AM