HM Digital

Madinah: Pelbagai program menarik diatur bagi meraikan 40 tetamu khas Kerajaan Arab Saudi dari Malaysia ke Tanah Suci Makkah dan Madinah.

Anggota rombongan terdiri pegawai kanan kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu berangkat dari Kuala Lumpur pada Rabu lalu dan berada di dua kota suci itu sehingga 14 Mei ini.

Antara program yang diatur ialah lawatan ke Muzium Asma Ul Husna di sebelah Masjid Nabawi, di sini, kilang percetakan al-Quran, Muzium Makkah selain menunaikan umrah.

Timbalan Duta Arab Saudi di Malaysia Fawwaz Tanaf Al-Otaibi dan Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Syaikh Abdulrahman Mohamed Al Harfi berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mengucapkan selamat jalan kepada ahli rombongan.

Dalam ucapannya, Syaikh Abdulrahman berharap lawatan itu memberi manfaat kepada peserta dan mengeratkan hubungan dua hala.

"Saya berharap melalui program ini, peserta dapat berkenalan dan mengeratkan ukhuwah sesama Islam," katanya.

Beliau berkata, biarpun program itu ditaja kerajaan Arab Saudi namun mereka perlu mengikhlaskan ibadat umrah kerana Allah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 11:16 PM
Peserta mendengar taklimat ketika berada di Madinah.