AKMAR Hisham bergambar bersama 62 pendaki negara yang melepasi cabaran pendakian ke Kem Induk Annapurna (ABC), Nepal. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Sepang: Enam puluh dua pendaki negara yang menakluk Kem Induk Annapurna (ABC), Nepal setinggi 4,130 meter pada 30 April lalu selamat tiba di tanah air, malam ini.

Kumpulan pendaki terdiri daripada 31 pengamal media, 21 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta lima kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan lima wakil belia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat MH0171 pada 8.10 malam.

Ketibaan mereka disambut Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles, wakil media dan pegawai serta anggota JBPM.

Ekspedisi berkenaan turut disertai Pengarang Bersekutu Berita dan Integrasi Media Harian Metro, Noor Sham Saleh; Pengarang Bersekutu Rencana, Husain Jahit dan wartawan Harian Metro, Mohamad Azim Fitri Abd Aziz.

Kumpulan pendaki itu mencatat sejarah sebagai kumpulan paling ramai dari Malaysia yang berjaya menawan ABC.

Sementara itu, Akmar Hisham berkata, beliau turut mengirimkan salam dan ucapan tahniah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di atas kejayaan kumpulan pendaki itu.

"Perdana Menteri tumpang gembira dengan kejayaan kumpulan pendaki ini sehingga memuat naik ucapan tahniah menerusi catatan Twitternya pada 2 Mei lalu," katanya.

Katanya, kejayaan kumpulan pendaki itu juga disifatkan satu rekod kerana bukan mudah untuk membawa dan mengendalikan 62 pendaki serentak.

Dalam pada itu, Ketua Ekspedisi Fazli Ahmad berkata, pihaknya merancang untuk menakluk Gunung Ararat, Turki yang terkenal dengan kisah penemuan bahtera Nabi Nuh.

"Kami juga merancang menakluk Gunung Daik di Kepulauan Riau, Indonesia. Kita kerap menyebut Gunung Daik dalam pantun namun, tidak pernah terfikir untuk mendaki gunung itu," katanya.

Katanya, pihaknya juga akan menyerahkan dokumen kepada Malaysia Book Of Records (MBOR) bagi urusan penyerahan sijil pengiktirafan yang dijangka disempurnakan minggu depan.

Ekspedisi sama turut disertai warga Media Prima Berhad termasuk Pengarang TV3, Shaharil Kadir; jurukamera TV3, Bazaei Ahmad dan Mohd Jufri Mohd Judin ; jurugambar The New Straits Time Press (M) Bhd, Luqman Hakim Zubir; wartawan New Straits Times, Fernando Fong; Pengarang Berita Harian (Online), Khirul Bahri Basaruddin; Pengarang Berita, Zainuri Misfar; Ketua Biro BH Pahang, Abdul Razak Raaff dan wartawan Biro Putrajaya, Irwan Shafrizan Ismail.

Ekspedisi berkenaan mencipta sejarah apabila bakal dicatat dalam MBOR bagi kategori peserta paling ramai dari Malaysia berjaya menawan ABC.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 11:09 PM