Sabiri atau Win, 28.
Agensi

Pekanbaru: Berang melihat wanita idamannya diajak minum di sebuah kafe, seorang lelaki dikenali sebagai Sabiri atau Win, 28, menikam Erwin Fremki Siringo atau Ringo, 33, dengan keris menyebabkan mangsa mati tidak lama kemudian.

Menurut beritariau.com, jurucakap polis daerah Riau, Guntur Aryo Tejo, semalam, berkata dalam kejadian minggu lalu, Sabiri tidak dapat menahan cemburunya apabila wanita disukainya dikenali sebabai Wt, keluar dengan Ringo.

“Dia yang sudah lama jatuh hati dengan Wt, sering memarahi Ringo dan mengancamnya supaya tidak keluar dengan Wt,” kata Guntur.

Bagaimanapun, amaran Sabiri tidak diendahkan Ringo dan Wt.

Kemarahan Sabiri memuncak minggu lalu, apabila diberitahu Wt dan Ringo makan bersama di sebuah kafe, lalu ke kafe berkenaan membawa keris.

Menurut Guntur, setiba di kafe, Sabiri memukul Ringo dan menikam mangsa dua kali di perut sebelum melarikan diri.

Beliau berkata, Ringo dibawa ke hospital tetapi meninggal dunia kelmarin dan polis kemudian berjaya mengesan Sabiri yang bersembunyi di rumah keluarganya di Kabanjahe, Sumatera Utara.

“Kami terpaksa menembak kakinya selepas dia cuba melawan,” katanya. -

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 10:02 PM