Seorang banduan yang berjaya ditahan kembali dan gambar kanan, polis anti-rusuhan bersedia untuk memasuki penjara. - Foto AFP
AFP

Jakarta: Kira-kira 200 banduan melarikan diri dari sebuah penjara yang sesak di barat Indonesia selepas merempuh pengawal sebaik dibenarkan keluar untuk solat Jumaat, hari ini.

Bagaimanapun, hampir 80 banduan berjaya ditangkap semula tidak lama selepas itu.

Ketua Pengarah Penjara Sialang Bungkuk, I Wayan Dusak, berkata banduan yang dilepaskan untuk menunaikan solat Jumaat di Pekanbaru, Sumatra, mulanya cuba melarikan diri dari pintu utama penjara namun gagal sebelum mereka menuju ke pintu di tepi bangunan dan merempuh pagar dawai yang cuma mempunyai beberapa pengawal.

Rakaman video amatur disiarkan stesen televisyen tempatan menunjukkan puluhan lelaki, ada antaranya berkain pelekat, menyelinap keluar dari celah pagar tanpa dikejar sesiapa.

Jurucakap polis tempatan, Guntur Aryo Tejo berkata, kira-kira 200 banduan terlepas namun sekurang-kurangnya 77 sudah ditangkap semula.

Penjara itu dibina untuk 300 orang tetapi mempunyai 1,870 banduan dengan hanya lima wardar dan seorang porter bertugas ketika itu dan kejadian dikatakan berpunca rasa tidak puas hati banduan terhadap ketua pengawal.

Lebih 1,000 banduan yang tidak melarikan diri, enggan pulang ke lokap masing-masing kecuali ketua pengawal diganti. -

Seramai 400 polis dan tentera dikerahkan mengawal keadaan, termasuk membuat sekatan jalan di sekitar bandar itu dan memburu banduan yang masih terlepas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 9:53 PM