Mohd Zaidi (empat dari kiri) menyerahkan kek kepada Hadzi sempena Hari Bomba Sedunia. FOTO Eizairi Shamsudin
Azma Razana Johari
am@hmetro.com.my


Permatang Pauh: Seramai 500 ahli UMNO Bahagian Permatang Pauh menyertai larian bendera sempena ulang tahun UMNO ke-71, petang ini.

Lebih menariknya, larian diketuai Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said itu singgah ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perda bagi menghantar kek sempena Sambutan Hari Bomba, semalam.

Kunjungan itu disambut Ketua BBP Perda, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hadzi Mohd Yusof dan beberapa anggota lain.

Mohd Zaidi berkata, kunjungan itu adalah untuk menghargai jasa dan pengorbanan anggota bomba, sekali gus meraikan Sambutan Hari Bomba Sedunia.

"BBP Perda terletak dalam laluan larian bendera dan pemberian kek itu sebagai tanda penghargaan atas segala pengorbanan mereka selama ini," katanya.

Terdahulu, Mohd Zaidi menerima bendera itu daripada Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor di Pangkalan Machang, Sungai Dua, pagi tadi.

Menurutnya, larian bendera diteruskan ke Pusat Komersial Permatang Pauh dan Bandar Perda sebelum diserahkan kepada UMNO Bahagian Bukit Mertajam.

Ends..

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 7:44 PM