WAN Fakhrul Razi pada Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan 1438H/2017M, April lalu. FOTO Rasul Azli Samad
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Tujuh puluh negara akan menyertai Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-59 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, 15 hingga 20 Mei ini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sebanyak 22 negara dijemput bagi kategori tilawah al-Quran yang diwakili seorang qari dan qariah.

Sementara, 24 negara dijemput meyertai bagi kategori hafazan yang kebanyakannya terdiri daripada negara Timur Tengah, Afrika dan beberapa negara yang lebih kepada bacaan secara tadwir (tanpa taranum).

"Malaysia akan diwakili oleh johan qari dan qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan 2017 di Melaka, iaitu Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad dari Wilayah Persekutuan dan Normalina Alias dari Negeri Sembilan.

"Bagi kategori hafazan, Malaysia akan diwaklili oleh johan lelaki dan wanita kategori 30 juzuk Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan 2017 iaitu Mohamad Syazani Jemy dari Johor dan Nur Amalina Azharuddin dari Melaka," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jamil Khir berkata, 24 negara lagi dijemput secara pilihan terbuka, dan negara berkenaan boleh membuat pilihan sama ada mengemukakan peserta bagi kategori tilawah atau hafazan.

Beliau berkata, majlis penutup dan penyampaian hadiah akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 20 Mei.

Jamil Khir berkata, pemilihan 'Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah' bertepatan dengan usaha kerajaan yang sentiasa konsisten dalam membentuk hubungan baik mengikut acuan syariat Islam ke atas ketamadunan ummah.

Katanya, usaha itu dilihat berupaya menyusun dan mengatur landskap kehidupan masyarakat

yang pelbagai dan mewujudkan konsep penyatuan dalam kepelbagaian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 5:45 PM