Abdul Jalil (dua dari kiri) bersama Pengurus Besar Pengiklanan Agensi dan Unit Usahawan Kecil dan Sederhana NSTP, Roche Chew (kiri), Vincent (dua dari kanan) dan Pengarah Lepro, Vincent Heng melakukan gimik perasmian ketika majlis perasmian MyRumah Property Showcase 2017. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Johor Bahru: The New Straits Times Press Bhd (NSTP) merancang memperluaskan Pameran Hartanah MyRumah 2017 ke beberapa bandar utama di negara ini termasuk Melaka, Ipoh dan Kuantan pada tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abd Jalil Hamid berkata, komitmen itu berdasarkan sambutan diterima menerusi penganjurannya di beberapa bandar seperti di Balai Berita, Bangsar dan Johor Bahru.

"Kita merancang melebarkan lagi kempen MyRumah ke bandar lain, bahkan tahun ini pertama kali diperluaskan ke Alor Setar, Kedah pada Ogos ini.

"Perancangan tahun depan kempen hartanah membabitkan pemaju tempatan dan pempamer diperluaskan ke Melaka, Ipoh dan Kuantan," katanya selepas melancarkan Pameran Hartanah MyRumah 2017 di Komtar JBCC di sini, sebentar tadi.

Hadir sama, Pengarah Urusan Andaman Property Management Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Vincent Tiew.

Abd Jalil berkata, perancangan memperluaskan lokasi pameran itu bagaimanapun bergantung kepada sokongan pemaju hartanah di negeri terbabit.

Katanya, program itu dianggap berjaya dan mencapai matlamatnya terutama sokongan daripada pemaju dan peserta pameran menyertainya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 3:41 PM