FOTO Muhamad Hatim Ab Manan
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


Melaka: Ahli perniagaan direman empat hari bagi membantu siasatan membabitkan kes rasuah berkaitan urusan jual-beli tanah wakaf Masjid Al-Hamideen, Kampung Bukit Cina, di sini.

Perintah tahanan reman suspek, 66, dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Mohd Anuar Ostadi. Tahanan reman bermula ahri ini.

Suspek disyaki terbabit rasuah dalam urusan jual-beli tanah wakaf Masjid Al-Hamideen, Bukit Cina, bernilai RM116,000.

Semalam, portal berita Harian Metro melaporkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lelaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM, di Alai, pada 12.15 tengah hari.

Penahanan suspek menjadikan keseluruhan tangkapan kes kini membabitkan tiga individu, termasuk bekas pengerusi dan setiausaha jawatankuasa masjid terbabit yang ditahan Selasa lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 12:07 PM