PETUGAS menyiapkan dokumen untuk pengundi menjelang pilihan raya pusingan kedua Presiden Perancis Ahad ini. Dokumen itu mengandungi manifesto kedua-dua calon, Macron (kiri) dan Le Pen. - Reuters
AFP

Paris: Calon Presiden Perancis dari parti berhaluan tengah, Emmanuel Macron berjaya meyakinkan penonton berbanding lawannya dari parti berhaluan kiri, Marine Le Pen dalam satu sesi debat yang disiarkan secara langsung kelmarin.

Tinjauan pendapat yang dilakukan juga mendapati Macron sebagai calon pilihan untuk memenangi pilihan raya presiden Perancis Ahad ini.

Kedua-dua calon bertikam lidah berkaitan keganasan, ekonomi dan Eropah dalam perdebatan yang ditonton 16.5 juta orang itu.

Tinjauan pendapat yang dibuat stesen televisyen BFMTV mendapati 63 peratus penonton berpendapat Macron lebih meyakinkan berbanding lawannya.

Pilihan raya kali ini dianggap pertembungan antara desakan Macron untuk keterbukaan dan perubahan propasaran dan Le Pen yang mendokong nasionalisme Perancis didahulukan.

Le Pen, 48, menggelar Macron yang juga bekas menteri ekonomi dan pegawai bank ‘calon elit’ dan ‘individu kesayangan sistem’.

Macron, 39, pula membalas dengan menggambarkan Le Pen ahli politik elit dari Parti Barisan Nasional (FN) sebagai ‘pewaris sistem yang subur daripada kemarahan rakyat Perancis sejak berdekad-dekad’.

Dia juga sering menggelar Le Pen sebagai penipu dan ‘parasit sistem’ yang hidup atas kekecewaan sistem politik Perancis yang pegun.

Mengenai Eropah, Le Pen menuduh Macron mengikut telunjuk Canselor Jerman, Angela Merkel dengan berkata, “Perancis akan diketuai oleh wanita, sama ada saya atau Merkel.”

Ketinggalan dalam tinjauan pendapat, debat itu dianggap peluang terakhir Le Pen untuk mengubah dinamik perlumbaan menjelang pilihan raya.

Bagaimanapun, tinjauan pendapat selepas debat itu menunjukkan Macron berjaya meyakinkan 63 peratus penonton berbanding Le Pen yang hanya memperoleh 34 peratus.

Tinjauan pendapat juga menunjukkan peratusan Macron memenangi pilihan raya jika diadakan semalam adalah antara 40 hingga 60 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 10:11 AM