Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Jurulatih angkat berat Wang Zhi Quan menyifatkan Hafifi Mansor (gambar) mempunyai prospek cerah menghadiahkan emas di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Bagaimanapun cabaran buat atlet yang akan beraksi dalam kategori 69 kilogram itu tidak mudah kerana akan menerima tentangan sengit atlet Indonesia dan Thailand.

Namun semangat luar biasa ditunjukkan Hafifi mungkin menjadikan impian itu realiti.

“Cabaran di Sukan Komanwel dan Sukan SEA berbeza. Di Sukan SEA Indonesia, Thailand, Myanmar mempunyai atlet yang hebat.

“Atlet Indonesia dan Thailand pernah memenangi perak dan gangsa di Sukan Olimpik dan atlet yang sama akan beraksi di Sukan SEA.

“Tapi saya lihat semangat Hafifi cukup luar biasa. Dia tahu susah tapi berusaha untuk mendapatkannya. Biarpun keadaan kakinya masih sakit kesan daripada pembedahan sebelum ke Olimpik, dia tetap bersemangat. Saya hanya boleh tolong apa yang termampu,” katanya.

Zhi Quan berkata, di antara semua atlet angkat berat negara, Hafifi dilihat mempunyai peluang namun beliau tidak mahu menafikan keupayaan atlet lain.

Kali terakhir angkat berat menyumbangkan emas di Sukan SEA adalah pada tahun 2005 menerusi Che Mod Azrul Che Mat dalam kategori 95kg ke atas.

Pada saingan di Olimpik Rio yang lalu, Hafifi berjaya melakukan angkatan keseluruhan snatch serta clean & jerk 316kg sekali gus memecahkan rekod kebangsaan 313kg miliknya yang dilakukan pada Kejohanan Dunia di Paris 2011.

Atlet kelahiran Terengganu itu dikatakan tidak berdepan masalah memecahkan rekod miliknya sendiri di Sukan SEA Ogos ini.

Malah Zhi Quan yakin latihan intensif selama sebulan di China akan memantapkan angkatan Hafifi.

Hafifi bersama seorang lagi atlet negara Muhammad Azroy Hazalwafie dalam kategori 56 kg akan berlepas ke China 25 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 9:10 AM