GUERRA (kanan) puas hati bantu Harimau Selatan mara separuh akhir.
Rizar Mohd Noor
sukan@hmetro.com.my


Johor Bahru: Penyerang import Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Gabriel Guerra teruja apabila hatriknya membantu Harimau Selatan layak ke separuh akhir Piala AFC Zon Asia Tenggara.

Dalam kelompok empat pasukan terakhir itu nanti, Johor DT dijadualkan bertemu Ceres Negro FC di Stadium Larkin pada 17 Mei.

Bagi bekas pemain PKNS FC itu, tiga gol dihasilkannya berpunca daripada kerjasama berpasukan ketika Johor FC menang 3-1 ke atas Magwe FC pada aksi terakhir Kumpulan F.

Bagaimanapun, Guerra tidak mahu terlalu disanjung sebaliknya menganggap kejayaan berkenaan sebagai tuah, apatah lagi mereka sedikit tertekan selepas kelab dari Myanmar itu terlebih dulu menjaringkan gol.

“Apabila lawan menjaringkan gol, kami agak tertekan, tapi berupaya bangkit dengan memberi fokus sepenuhnya terhadap perlawanan kerana misi utama adalah meraih kemenangan.

“Sudah tentu saya gembira membantu Johor DT menang, tapi yang pasti saya tidak berupaya melakukannya berseorangan tanpa dibantu rakan sepasukan.

“Biarpun sasaran awal untuk menamatkan saingan Kumpulan F selaku juara kumpulan tidak tercapai, bagi saya pencapaian itu tetap terbaik selepas layak ke separuh akhir dan faktor itu pasti melonjakkan motivasi semua pemain,” katanya.

Malah katanya, kejayaan itu memberi lebih keyakinan kepadanya untuk membantu Johor DT memburu kemenangan dalam setiap perlawanan diharungi, tidak kira aksi liga tempatan mahupun Piala AFC.

“Selepas layak ke separuh akhir, saya tidak mahu memikirkan pertembungan menentang Ceres. Biar saya dan rakan sepasukan tumpukan aksi menentang Melaka United, esok kerana kami mahu mengekalkan kedudukan di tangga teratas Liga Super,” kata Guerra.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 9:07 AM