Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin masuk ke dewan sempena Pembukaan Rasmi Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Yang Ke 13 di Bangunan Sultan Ibrahim, Jalan Bukit Timbalan, Johor Bahru.FOTO IHSAN PENERANGAN
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

Johor Bahru: Sikap segelintir individu yang tidak amanah mengakibatkan nama baik penjawat awam di negeri Johor tercalar ibarat pepatah kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah, baginda yakin majoriti penjawat awam di negeri Johor mengamalkan sikap integriti yang tinggi.

Baginda bertitah, orang ramai dinasihatkan untuk sama-sama membantu kerajaan menghapuskan amalan rasuah.

"Lihatlah apa yang berlaku baru-baru ini apabila ada orang politik didakwa atas tuduhan rasuah atau salah guna kuasa berkaitan iaitu perumahan Bumiputera negeri Johor.

"Kes siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap penjawat awam kerajaan Johor janganlah dilihat sebagai satu cara untuk melemahkan pentadbiran kerajaan Johor sebaliknya ia seharusnya dijadikan kekuatan berkaitan soal integriti dan sesuatu yang tidak boleh ditolak ansur.

"Malah kerajaan negeri juga dinasihatkan supaya berhati-berhati apabila membuat keputusan dan tidak terpengaruh dengan kata-kata atau desakan orang luar yang tidak tahu berkaitan sejarah dan cara pentadbiran negeri Johor," titahnya.

Sultan Ibrahim bertitah demikian menerusi teks dibacakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mewakili baginda di pembukaan penggal persidangan kelima Dewan Negeri Johor Ke-13 di Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 1:59 PM