YASMIN hasil produk bantu mereka bermasalah bulu berlebihan.
TARIK melawan arah bulu.
LEKAPKAN kain sehingga kemas.
SAPU bancuhan menggunakan spatula mengikut arah bulu.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Masalah bulu roma lebat di tangan, kaki, bawah lengan, muka dan garis bikini sering meragut keyakinan wanita untuk bergaya. Rasa tidak senang, malu, rendah diri selalunya disimpan sendirian hingga membawa kepada tekanan serta kemurungan.

Sekalipun banyak pusat kecantikan dan spa yang menawarkan khidmat membuang bulu roma dengan kaedah lilin, ramai yang tidak sanggup menyerah diri berikutan takut dengan pelbagai risiko termasuk jangkitan, iritasi dan luka di bahagian sulit.

Ada juga spa yang menawarkan kaedah laser tetapi ia bukanlah sesuatu yang murah untuk dilakukan. Kaedah ini memusnahkan akar rambut menerusi haba laser yang diserap. Proses ini menyebabkan bulu kekal mati.

Namun tidak kira secanggih mana rawatan ditawarkan di pusat kecantikan, majoriti wanita sebenarnya lebih suka memilih untuk menyelesaikan masalah memalukan ini dari rumah.

Pendapat sama turut dikongsi pengasas Yasmin Secret Beauty, Yasmin Banu Mirrah Maidin, 33. Menurut Yasmin, keluarganya memang mempunyai masalah hormon bulu berlebihan dan ia diwarisi hingga ke anak-anaknya.

“Seawal umur lapan tahun bulu kaki saya sudah tumbuh lebat. Di sekolah, saya terpaksa menahan telinga kerana menjadi bahan ejekan ramai. Jadi, mahu atau tidak, saya terpaksa membeli krim penanggal bulu roma untuk menjaga penampilan di depan rakan.

“Sehinggalah saya meningkat remaja, rakan kepada ibu yang turut mengalami masalah sama, meninggal akibat kanser payudara. Apabila dirujuk kepada doktor yang merawat, kami diberitahu salah satu punca kansernya merebak disebabkan penggunaan krim penanggal bulu roma dalam jangka panjang,” katanya.

Berikutan bimbang, Yasmin berusaha mempelajari pelbagai kaedah dan ramuan selamat untuk menanggalkan bulu, khususnya yang tumbuh di bahagian wajah dan bawah lengan.

“Kebetulan saya melancong ke Indonesia dan mengunjungi pusat kecantikan di sana. Mereka tidak kedekut berkongsi rahsia dan petua. Jadi, saya diajar cara menghasilkan bancuhan lilin untuk menganggalkan bulu roma dengan kaedah selamat dan berkesan.

“Sebaik saja pulang, saya terus mencuba resipi yang diberi dan hasilnya amat memuaskan hati. Ketika itu, saya hanya memikirkan satu perkara saja - bagaimana bancuhan ini dapat saya komersialkan untuk membantu lebih ramai wanita senasib saya.

“Tamat saja pengajian di universiti pada 2015, saya nekad mengusahakan produk ini dari rumah. Saya hanya bermula dengan jumlah minimum dan menjualnya secara dalam talian pada 2016,” katanya.

MEMBERSIH, MERAWAT

Ternyata masalah bulu roma memang menjadi kebimbangan ramai wanita di negara ini. Walaupun pada awalnya Yasmin hanya menyasarkan penggunaan produk untuk kegunaan spa, Yasmin’s Secret Wax mencipta fenomena tersendiri dalam kalangan wanita sehingga ke luar negara.

“Ramai yang mula bertanya mengenai kaedah membuang bulu roma menggunakan kaedah pelilinan (waxing) yang saya hasilkan. Malah ratusan testimoni dikirim pengguna yang berpuas hati.

“Jika dulu, ramai yang membantutkan hasrat untuk ke salun untuk membuang bulu roma kerana takut sakit. Malah majoriti wanita juga enggan membincangkan perihal bulu roma kerana ada yang menganggap pelilinan hanya membuang bulu roma di bahagian alat sulit.

“Namun, selepas mencuba produk yang saya hasilkan, ramai mula sedar sebenarnya skop proses pelilinan itu amat luas. Ia merangkumi keseluruhan tubuh yang berdepan masalah bulu roma lebat hingga mendatangkan rasa tidak selesa pada diri seseorang,” katanya.

Menurut Yasmin, produk yang dihasilkan cukup unik kerana menggabungkan penggunaan gula, lemon, tawas dan kolagen. Ini bermakna, proses membuang bulu roma tidak sekadar membersihkan, malah mampu merawat.

“Banyak produk pelilinan berasaskan gula dan madu. Tetapi saya menambah ramuan lemon untuk membantu merawat masalah jerawat atau jangkitan kulat yang mudah dialami kebanyakan wanita.

“Selain itu, kolagen juga memberi kesan mencerahkan kulit, terutama selepas proses pelilinan,” katanya.

Berbanding penggunaan fabrik pakai buang yang banyak digunakan di spa, Yasmin berkata, produk keluarannya ini menggunakan kain kapas yang boleh dicuci semula.

“Kalau di spa, mereka menggunakan fabrik pakai buang untuk tujuan kebersihan dan mengelak perkongsian antara pelanggan. Namun jika di rumah, pengguna tidak perlu bimbang soal kebersihan, selagi fabrik yang dibekalkan dijaga baik.

“Jadi, setiap kali selepas melakukan pelilinan, rendam kain yang digunakan dalam air panas. Kemudian cuci seperti biasa. Kain ini boleh digunakan berulang kali sehingga bancuhan habis,” katanya.

LALUI UJIAN KLINIKAL

Kaedah pelilinan memang jauh berbeza dengan mencukur. Kesan mencukur lazimnya menggalakkan pertumbuhan bulu yang lebih kasar. Namun penggunaan Yasmin’s Secret Wax memberi keselesaan yang lebih panjang.

“Bagi mereka yang mengalami masalah pertumbuhan bulu yang aktif, ia mungkin mengambil masa antara dua hingga tiga minggu untuk tumbuh. Manakala bagi wanita normal ia biasanya mengambil masa lebih enam minggu untuk tumbuh.

“Menariknya, semakin kerap anda menggunakan produk ini, bulu yang tumbuh semakin halus, lembut dan jarang. Selepas tempoh penggunaan 16 bulan, bulu akan hilang secara kekal sehingga 85 peratus, kulit bertambah halus dan tegang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 12:24 PM