GAMBAR hiasan, komodo.

Nusa Tenggara: Seorang pelancong warga Singapura cedera parah selepas diserang seekor biawak komodo di Manggarai Barat, Nusa Tenggara Timur pagi semalam.

Kejadian berlaku ketika Lon Lee Alle, 50, melawat Taman Negara Komodo.

Pengurus taman berkenaan, Sudiyono berkata, Alle cedera teruk di kaki selepas digigit biawak berkenaan.

Menurutnya, warga Singapura itu dikatakan asyik menyaksikan beberapa komodo makan.

Dia mendekati haiwan itu untuk merakam gambar tanpa mengendahkan amaran penduduk supaya tidak pergi terlalu hampir.

“Dia mungkin berada terlalu dekat. Komodo tidak suka diganggu ketika makan,” kata Sudiyono kepada akhbar Jakarta Post.

Beberapa penduduk segera menarik Alle dari haiwan berkenaan dan menghantarnya ke pusat perubatan berhampiran untuk dirawat sebelum dibawa ke Hospital Besar Siloam dengan bot laju tentera.

“Ini kali pertama seorang manusia digigit oleh Komodo dalam masa lima tahun,” kata Sudiyono.

Menurutnya, Alle tinggal dengan penduduk tempatan sejak tiga hari lalu untuk menjimat belanja. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 10:17 AM