Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

Alor Gajah: Pemandu treler meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan selepas melanggar belakang treler lain di Kilometer 208.9 Lebuhraya PLUS arah utara, berhampiran Restoran Jejantas Ayer Keroh, di sini, semalam.

Dalam kejadian 11.15 malam itu, M Loganathan, 38, yang memandu treler muatan tisu dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Pulau Pinang.

Menurut sumber, mangsa dipercayai gagal membrek trelernya sebelum merempuh belakang treler dari arah yang sama.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh PBK ll Hadzar Hasan berkata, mangsa tersepit dan bomba terpaksa mengambil masa selama satu jam untuk mengeluarkan mangsa yang kedua kakinya tersepit di bawah papan pemuka.

 "Kedua-dua kaki mangsa dipercayai patah dan mangsa tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia selepas dibawa keluar dari tempat duduk pemandu. Kelindannya tercampak keluar ke bahu jalan dan cedera.

 "Seorang lagi pemandu lori di hadapannya turut cedera selepas dadanya terhentak ke stereng. Mangsa yang cedera dibawa dengan ambulans ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut manakala mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik hospital yang sama untuk bedah siasat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 7:37 AM
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan