GUERRA (kiri) melepasi asakan pemain Magwe di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam tadi.
Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my

Johor Bahru: Gabriel Guerra membawa Johor Darul Ta’zim (Johor DT) melangkah ke separuh akhir Piala AFC Zon Asia Tenggara apabila melakar hatrik untuk membantu pasukan itu menewaskan kelab Myanmar, Magwe FC 3-1 dalam saingan terakhir Kumpulan F di Stadium Larkin, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Benjamin Mora layak ke pusingan timbal balik berdasarkan pungutan mata terbaik selaku naib juara berbanding dua pasukan yang berada di tangga kedua akan berdepan kelab dari Filipina, Ceres Negro FC pada aksi di Larkin, 17 Mei ini.

Sebaik babak pertama bermula, skuad kendalian Zaw Win Tun yang tidak ada harapan untuk melangkah ke separuh akhir melakar kejutan ke atas skuad Harimau Selatan pada minit ketujuh selepas sepakan percuma Hein Zar Aung tepat kepada Kyaw Swar Linn yang menanduk kemas untuk menewaskan penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli.

Bagaikan dikejut daripada lamunan, tuan rumah kembali memperagakan aksi garang apabila mula mengatur langkah menggempur benteng pelawat, namun corak permainan pasukan lawan yang mengawal ketat setiap pemain Johor DT menyukarkan pemain tuan rumah untuk melakukan percubaan berbahaya.

Asakan berterusan tuan rumah untuk memburu gol penyamaan akhirnya menjelma pada minit ke-14 selepas Gabriel Guerra yang tidak dikawal pantas melakukan rembatan dari luar kotak penalti, tepat ke penjuru kiri gol untuk menewaskan Zin Phyo bagi mengikat kedudukan 1-1.

Johor DT hampir terperangkap dengan gol kedua lawan apabila Cho Tun berjaya melepasi Aidil Zafuan Abd Radzak pada minit ke-40 namun gara-gara terlalu gopoh menyebabkan peluang terhidang terlepas apabila rembatannya tersasar gol biarpun berjaya memperdayakan Mohammad Haziq.

Penguasaan ketara tuan rumah sebaik babak kedua bermula membuahkan hasil pada minit ke-58 apabila sepakan lintang Safiq tepat kepada Guerra untuk menjaringkan gol kedua peribadi selepas tandukannya menewaskan Zin Phyo.

Tindakan pemain pertahanan Magwe FC menjatuhkan Safiq dalam kotak penalti menyaksikan pengadil perlawanan Yudai Yamamoto dari Jepun tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-78. Guerra mudah menyepak masuk sekali gus melakar hatrik pertama untuk memastikan kemenangan 3-1 buat Johor DT.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 5:33 AM