TERTUDUH (dua kanan) keluar dari mahkamah. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


Johor Bahru: Lelaki warga Singapura dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas disabit kesalahan atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine dan Ketamin, dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Yip Kum Keong, 46, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki yang bekerja sebagai kontraktor itu didakwa mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 76.05 gram di Jalan Molek 3/18, Taman Molek, di sini pada 5.30 petang 4 Februari 2015.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengedar dadah jenis Ketamin seberat 339.16 gram pada waktu, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi kedua-dua kesalahan dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dalam mahkamah sama, bapa kepada dua anak itu turut dijatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan selepas didapati bersalah memiliki dadah jenis Nimetazepam seberat 19.23 gram pada waktu, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Bahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Norafiah Saini manakala tertuduh diwakili peguambela, Sukaimi Maskot.

Sembilan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil sepanjang prosiding kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 7:19 PM