Najib bergambar bersama Bellew (lima kanan) dan kakitangan MAB sempena Inisiatif Negaraku di Bangunan Perdana Putra. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Malaysia Airlines Berhad (MAB) menyatakan sokongan untuk menyertai inisiatif Negaraku dengan melaksanakan beberapa pendekatan termasuk memaparkan logo Negaraku di beberapa badan pesawat miliknya.

Acara itu disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Said Salleh Keruak, Pengerusi MAB Tan Sri Md Nor Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif MAB Peter Bellew dalam majlis ringkas di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Bellew berkata, MAB amat berbesar hati bersama-sama kerajaan untuk memberi sokongan menyertai inisiatif itu dan memainkan peranan menyemarakkan semangat patriotik.

"Negaraku adalah satu perkataan Bahasa Melayu mudah yang bermakna 'My Nation' tetapi maksud sebenarnya adalah lebih luas,

"Sebagai syarikat penerbangan nasional, kami amat berbangga menjadi sebahagian daripada usaha ini, peluang mengibarkan Jalur Gemilang menjadi saluran terbaik bagi menyerlahkan keunikan negara kepada penumpang asing," katanya.

Bagi melaksanakan inisiatif itu, Malaysia Airlines akan memaparkan lambang Negaraku di beberapa badan pesawat miliknya, mengetengahkan kisah wira Malaysia menerusi majalah dalam pesawat serta menyediakan kandungan khas ketika siaran hiburan dalam pesawat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 5:37 PM