Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


Nilai: Kementerian Pendidikan akan menyiasat kes kematian remaja lelaki yang didakwa dipaksa minum racun oleh sekumpulan pelajar lain daripada pelbagai sudut termasuk pengaruh kongsi gelap atau gangsterisme.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon berkata, pihaknya sudah mengarahkan sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan negeri untuk menyiasat perkara itu.

"Kita masih menunggu laporan penuh siasatan daripada polis. Selepas itu, pihak kementerian akan melakukan siasatan berhubung insiden itu walaupun ia berlaku di luar sekolah.

"Kita juga mahu tahu sama ada sekolah menghadapi isu disiplin. Kita tidak mahu wujud pengaruh luar yang mempengaruhi sekolah itu," katanya selepas menziarahi keluarga mendiang di Taman Desa Jasmin di sini, hari ini.

S Pravin, 15, disahkan meninggal dunia jam 9.30 malam tadi, selepas enam hari dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin berkata, polis masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu sama ada mangsa dipaksa minum racun atau sebaliknya.

"Siasatan menemui beberapa kesangsian berkaitan dipaksa minum racun. Setakat ini, kes masih disiasat mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 5:21 PM