Anggota Hindu Yuva Vahini bergambar dalam pejabat kumpulan itu di Unnao, India, (5 April 2017) - Foto REUTERS (File)
Reuters

New Delhi: Polis India menahan empat anggota pertubuhan militia Hindu diasaskan Ketua Menteri Uttar Pradesh kerana disyaki membunuh seorang lelaki Islam yang didakwa membantu wanita Hindu berkahwin dengan lelaki Islam.

Petani berusia 60 tahun itu dibunuh semalam, oleh orang ramai termasuk ahli kumpulan Hindu Yuva Vahini, atau Pasukan Belia Hindu yang ditubuhkan Yogi Adityanath - sami yang dilantik Perdana Menteri Narendra Modi untuk memimpin Uttar Pradesh.

Sejak perlantikannya sebagai Ketua Menteri, kumpulan belia Hindu itu meningkatkan kempen anti-Islam, termasuk ‘Jihad Cinta’ yang mereka dakwa strategi penduduk Islam memikat wanita Hindu supaya memeluk Islam melalui perkahwinan.

Pegawai polis yang mengetuai siasatan pembunuhan itu, Jagdish Sharma, berkata dalam kejadian di daerah Bulandshahr, 70 kilometer di selatan New Delhi, petani Islam itu dibelasah hingga mati dalam kebun mangga selepas dia enggan memberitahu lokasi pasangan terbabit.

Kumpulan Hindu Yuva Vahini yang menafikan pembabitan anggotanya, berkata dalam kenyataan: “Kami tidak mahu orang Islam membuatkan wanita Hindu memeluk Islam namun kami tidak terbabit dalam aktiviti jenayah.”

Sebanyak 19 peratus daripada 220 juta penduduk Uttar Pradesh beragama Islam. Sejak menjadi Ketua Menteri, pasukan sukarelanya menjadi seperti ‘polis’ menguatkuasakan larangan dikenakan Adityanath terhadap rumah sembelihan lembu yang didakwa tanpa lesen dan jualan daging lembu oleh orang Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 5:13 PM