Klopp (kiri) berdepan bidaan Mourinho untuk dapatkan Fabregas. FOTO EPA/REUTERS
Daily Star UK

Liverpool: Jurgen Klopp sedia bersaing dengan bos Manchester United Jose Mourinho untuk mendapatkan bintang Chelsea, Cesc Fabregas.

Pemain Sepanyol itu pemenang Piala Dunia tidak berhasrat meninggalkan Stamford Bridge tetapi namanya pasti akan tercicir dalam senarai pemain pilihan utama bersama kelab itu pada musim depan.

Bos Chelsea Antonio Conte merancang merombak skuadnya ketika kian menghampiri gelaran juara Liga Perdana Inggeris (EPL) dan mahu memperkuatkan pasukan untuk bertarung dalam Liga Juara Juara (UCL).

Biarpun dikatakan Fabregas enggan meninggalkan The Blues dan akan berusia 30 esok, dia faham dengan kemahuan bekas bosnya Mourinho yang memerlukan khidmatnya di Old Trafford.

Klopp, pengurus Liverpool turut berhasrat mendapatkan bekas pemain Arsenal itu yang memiliki kejayaan dalam La Liga dan Liga Perdana, Piala Dunia 2010 serta Kejohanan Negara Eropah 2008 dan 2012.

Pengurus dari Jerman itu mampu menawarkan Fabregas tempat bersama Liverpool bermain dalam Liga Juara Juara.

Reds mendapat jaminan beraksi pada saingan elit Eropah itu andai menang tiga perlawanan terakhir dalam EPL.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 2:30 PM