Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my

Kepala Batas: Tiga suspek kes samun yang ditahan di Taman Pauh Jaya, Permatang Pauh, semalam, terbabit dalam 26 kes samun sekitar Seberang Perai dan Kedah sejak Januari tahun ini.

Suspek ditahan selepas kereta Honda City dinaiki mereka dikejar sejauh 30 kilometer oleh sepasukan polis yang membuat rondaan mencegah jenayah diketuai Asisten Superintendan Mohd Yusof Ibrahim.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, suspek berusia antara 24 hingga 31 tahun sebelum itu dilihat dalam keadaan mencurigakan di Teluk Air Tawar sebelum dikejar.

Katanya, suspek ditahan selepas kereta dinaiki terbabas dekat Taman Pauh Jaya.

"Siasatan mendapati suspek menggunakan kereta curi untuk melakukan jenayah samun dan pecah rumah.

"Daripada 26 kes samun, tujuh kes dilakukan di SPU manakala bakinya di Seberang Perai Tengah dan Kedah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 12:55 PM
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Azmi Adam (tengah) menunjukan barang rampasan yang terdiri daripada barang kemas, beg, kelengkapan rumah dan peralatan memecah masuk rumah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Kepala Batas. FOTO ZULAIKHA ZAINUZMAN