SEORANG anggota Daish melepaskan tembakan ketika bertempur dengan anggota Pasukan Demokratik Syria (SDF) di Raqqa, wilayah di utara Syria, semalam. - AP
Agensi

Beirut: Sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh dalam satu serangan Daish berhampiran sebuah kem pelarian di sebelah sempadan Syria dengan Iraq.

Ketua kumpulan Pemerhati Untuk Hak Asasi Syria, Rami Abdel Rahman berkata, lima penyerang berani mati meletupkan diri mereka di luar dan di dalam sebuah kem yang menempatkan pelarian Iraq serta Syria di wilayah Hasakeh.

Pertempuran sengit kemudian meletus antara Daish dan anggota Pasukan Demokratik Syria (SDF), pakatan yang terdiri daripada pejuang Kurdis dan Arab.

Menurut Rami, antara yang terbunuh ialah anggota SDF.

Kem itu terletak di kawasan Rajm al-Salibeh, dalam wilayah Syria dan sekurang-kurangnya 21 yang terbunuh itu ialah pelarian Syria atau Iraq.

Rami berkata, sekurang-kurangnya 30 orang cedera dan angka kematian mungkin meningkat memandangkan sebahagian yang cedera itu parah.

SDF yang disokong Amerika Syarikat menawan sejumlah besar kawasan di utara Syria daripada Daish dan sejak beberapa hari lalu berjaya menguasai hampir seluruh Taqba, bandar strategik di Lembah Furat.

Sementara itu, di Anbar, wilayah di barat Iraq, sekurang-kurangnya 10 askar Iraq terbunuh dalam serang hendap Daish.

Ia serangan terbaru kumpulan berkenaan terhadap pasukan keselamatan di kawasan itu.

Serangan di kawasan sama sebelum ini menyebabkan sekurang-kurangnya 26 anggota pasukan keselamatan Iraq terbunuh.

Menurut pegawai Iraq, Daish menyasarkan serangan mereka terhadap pangkalan tentera di kawasan Saggar, timur daerah Rutba dengan menggunakan mortar dan roket sebelum anggotanya menyerbu pangkalan berkenaan.

Daish sebelum ini menguasai sebahagian Anbar sebelum tentera Iraq menawannya semula.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 10:08 AM