MACRON selepas berucap di satu kempen di Paris, semalam. - AFP

Paris: Penyokong calon pilihan raya Presiden Perancis, Emmanuel Macron semalam menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan ramai pengundi tidak keluar mengundi pada pusingan kedua pilihan raya itu Ahad depan.

Menurut mereka, peluang untuk Macron mengalahkan calon pelampau kanan, Marine Le Pen akan terjejas sekiranya tidak ramai yang keluar mengundi.

Pendekatan liberal Macron berhubung ekonomi mencetuskan kebimbangan ramai pengundi berhaluan kiri.

Meskipun mereka tidak menyokong Le Pen, ramai berkata, mereka akan memilih untuk tinggal di rumah daripada mengundi Macron.

Menurut kajian terbaru, kadar mereka yang tidak akan mengundi ialah kira-kira 30 peratus, lebih tinggi berbanding pilihan raya pusingan pertama baru-baru ini.

Namun, Macron, 39, masih berada di hadapan, mengatasi Le Pen dengan kajian menunjukkan dia mendahului 19 mata, sekali gus meletakkan dia di landasan untuk menjadi presiden paling muda Perancis.

Berikutan kebimbangan kadar keluar mengundi yang rendah akan membantu peluang Le Pen, ketua syarikat, selebriti dan penyelidik saintifik menggesa orang ramai mengundi Macron yang menyifatkan dirinya ‘tidak kiri dan juga tidak kanan.’

Seorang tokoh matematik dan pengulas, Cedric Villani semalam menulis dalam akhbar Liberation dengan berkata, tindakan tidak mengundi sama dengan memberi satu undi kepada Le Pen dalam pilihan raya paling penting Perancis sejak puluhan tahun lalu.

Le Pen dan Macron akan bersemuka dalam satu debat pilihan raya yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen hari ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 9:58 AM