Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Kamarudin Abdullah menggesa Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) Datuk Rozabil Abd Rahman supaya tidak ‘lepas tangan’ dalam isu rasuah sebaliknya terus mengambil tindakan tegas jika mempunyai cukup bukti mengenai pembabitan segelintir pemain Singa Utara yang terbabit dengan gejala kurang bermoral itu.

Beliau berkata, Rozabil perlu tampil membuktikan tuduhannya terhadap pemain pasukan itu benar dan bukannya segera menutup kes berkenaan selepas masalah tunggakan gaji pemain berjaya diselesaikan kelmarin.

“Masalah tunggakan gaji dengan kes rasuah dua isu berbeza. Kalau gaji tertunggak persatuan memang wajib bayar kepada pemain dan dakwaan rasuah itu juga berat. Jika beliau (Rozabil) pernah membuat dakwaan sebelum ini, wajar untuknya mengambil tindakan dan tidak boleh diam begitu saja.

“Apabila tiada tindakan mahu diambil serta jumlah bayaran gaji tertunggak kepada pemain tidak didedahkan, itu mencetuskan rasa curiga kepada orang ramai mengenai cara penyelesaian itu dibuat,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Rozabil yang juga Naib Presiden FAM sebelum ini mendakwa beliau mempunyai bukti untuk mengaitkan segelintir pemain Perlis terbabit dalam aktiviti menjual perlawanan dan menetapkan syarat supaya pemain berkenaan tampil membuat pengakuan sebagai syarat bagi menyelesaikan tuntutan gaji tertunggak.

Namun situasi berbeza berlaku apabila Presiden PFA itu menyatakan tidak mahu memanjangkan isu rasuah itu selepas masalah gaji 12 pemain tertunggak selama 5 bulan sejak Julai tahun lalu itu selesai menerusi satu pertemuan di Wisma FAM kelmarin.

Bagaimanapun, jumlah bayaran diberikan PFA kepada pemain terbabit tidak didedahkan atas persetujuan bersama semua pihak.

“Kita tak tahu apa pakej tawaran itu sebab mereka tidak dedahkan. Saya tidak tahu apa pemain fikirkan, tapi saya tidak akan terima jika bayaran kurang daripada apa dituntut.

“Mereka (pemain) juga sepatutnya mempertahankan nama mereka jika dikaitkan dengan tuduhan rasuah,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 6:25 AM