AIR naik dan dan pokok tumbang akibat ribut. FOTO ihsan Bomba
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


Rawang: Hujan lebat melanda kawasan Bandar Tasik Puteri, Rawang dan Kundang, hari ini menyebabkan kawasan berkenaan dinaiki air setinggi dua meter selain berpuluh pokok tumbang.

Malah ribut bermula 3 petang itu turut merosakkan peralatan di Kelab Golf Tasik Puteri di sini, selepas diterbangkan ribut selain menyebabkan beberapa kenderaan milik penduduk rosak teruk akibat dihempap pokok.

Sementara itu, penduduk Hashim Ali, 43, berkata, ketulan ais sebesar biji guli turut jatuh di lantai tempat letak kereta rumahnya ketika ribut itu.

“Kejadian ini memang memeranjatkan. Malah, saya sempat mengutip beberapa ketulan air batu itu,” katanya.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian hujan lebat dan ribut di kawasan berkenaan.

"Susulan itu beberapa jentera dari Balai Bomba Rawang dan Balai Bomba Batu Arang digerakkan ke lokasi kejadian.

"Kerja memotong pokok tumbang dan membersihkan kawasan dijalankan di kawasan berkenaan," katanya.

Difahamkan kejadian ribut terbabit turut merosakkan bumbung sekolah di Bandar Tasik Puteri di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 9:40 PM