Dzulkhairi (gambar kecil) memaklumkan Sebanyak 280 saman tertunggak warga Singapura diselesaikan dalam OSTWA yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri di Kawasan Rehat dan Rawat Gelang Patah, semalam.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Iskandar Puteri: Sebanyak 280 saman tertunggak warga Singapura diselesaikan dalam Operasi Saman Tertunggak Warga Asing (OSTWA) yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri di Kawasan Rehat dan Rawat Gelang Patah di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, sebanyak RM44,070 kompaun berjaya dikutip dalam operasi yang dijalankan dari 10 pagi itu.

"Dalam operasi semalam, kita memeriksa 213 kenderaan iaitu 162 kereta, 17 motosikal dan 34 lain-lain kenderaan.

"Kita turut memeriksa 272 individu dalam operasi ini sebelum 12 saman baru dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan," katanya.

Beliau berkata, sebanyak sembilan saman dikeluarkan pihaknya ke atas kereta, manakala dua saman terhadap motosikal dan satu saman bagi lain-lain kenderaan.

Menurut Dzulkhairi, dua saman yang dikeluarkan membabitkan kesalahan lesen, tiga kesalahan insurans atau cukai jalan, nombor pendaftaran kenderaan (tiga) dan lain-lain kesalahan (empat).

Katanya, operasi yang disertai empat pegawai dan 25 anggota itu tamat 10 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 2:48 PM