Sepakan basikal Emre pastikan Liverpool raih tiga mata.FOTO AFP
AP

Watford: Liverpool mencerahkan peluang beraksi pada Liga Juara Juara (UCL) selepas menang 1-0 mengatasi Watford dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dianggap ‘tidak perlu diingati’, awal pagi tadi.

Detik menarik perlawanan dilakukan oleh Emre Can yang membuat ‘sepakan basikal’ selepas menyambut hantaran lintang Lucas Leiva pada waktu kecederaan babak pertama.

"Saya tidak pernah menjaringkan gol seperti itu dan mungkin masa muda. Ia adalah jaringan terbaik pernah saya lakukan," kata Can.

"Saya nampak ruang, lari ke belakang dan pada mulanya hendak menanduk tetapi mengubah fikiran lalu terus membuat sepakan."

Tiga pencabar EPL lain - Manchester City, Manchester United dan Arsenal tercicir mata untuk persaingan empat teratas EPL.

Kemenangan begitu penting buat Liverpool yang bergelut setiap kali menentang pasukan bawah liga.

Ia meletakkan The Reds melonjak empat mata di depan pasukan tempat kelima, United biarpun mereka kurang satu perlawanan.

"Jika menang tiga baki perlawanan kita akan berada dalam Liga Juara Juara. Kami yakin."

Perlawanan itu turut memberi risiko kepada penyerang Philippe Coutinho kerana beraksi tidak sampai 10 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 12:53 PM