Juruelektrik (depan) direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes memuat naik kenyataan berbaur fitnah dan hasutan terhadap Menteri Besar Johor, seorang Exco Kerajaan Negeri dan sebuah syarikat utiliti di negeri ini menerusi FB. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Mahkamah Majistret di sini, hari ini membenarkan perintah reman terhadap juruelektrik selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes memuat naik kenyataan berbaur fitnah dan hasutan terhadap Menteri Besar Johor, seorang Exco Kerajaan Negeri dan sebuah syarikat utiliti di negeri ini menerusi Facebook (FB).

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Faridatul Farrah Mohd Shukri terhadap suspek lelaki berusia 22 tahun selepas membenarkan permohonan Bahagian Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

Suspek yang berpakaian lokap berwarna ungu itu direman bermula hari ini sehingga Khamis bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Iskandar Puteri dengan bantuan BSJ IPD Pontian menahan suspek di rumahnya di Kampung Parit Sangkar, Ayer Baloi, Pontian, pada 1.45 pagi tadi.

Polis turut merampas sebuah telefon bimbit serta sekeping kad sim daripada suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 12:35 PM