Juliana bersama suaminya selamat bernikah hari ini. FOTO
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Juliana Evans, 27, selamat melangsungkan perkahwinan dengan lelaki pilihan hatinya, Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah Al-Hajj, 29, di sebuah lokasi tertutup di Shah Alam jam 10.45 pagi hari ini.

Juliana atau nama sebenarnya Juliana Sophie Johari Evans sah bergelar isteri kepada Tengku Shariffuddin yang juga kerabat diraja Johor dan Selangor itu dengan sekali lafaz.

Pasangan itu dinikahkan oleh Imam Masjid Istana Alam Shah Klang, Imam Paduka Tuan Mohd Rasid Mahful.

"Alhamdulillah, saya kini sah bergelar isteri Tengku Shariffuddin. Saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab dalam kehidupan rumah tangga. Saya berharap peminat terus mendoakan kebahagiaan kami," katanya menerusi siaran akhbar.

Juliana turut meluahkan kesyukuran kerana hari bersejarah itu berjalan lancar dengan dihadiri keluarga terdekat kedua-belah pihak.

Mereka mula berkenalan sejak dua tahun lalu.

Pelakon filem Bella dan Jamie itu tidak mengikat tali pertunangan sebelum membuat keputusan untuk hidup bersama.

Majlis resepsi pasangan itu dijangka akan diadakan selepas sambutan Aidilfitri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 3:46 PM