BARISAN artis Cetak Kolektif (berdiri dari kiri) Zul Husni dan Hazul manakala (duduk dari kiri) Arson Ong, Faizal, Sabihis dan Samsudin.
Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Bagi mengakhiri 2014, galeri HOM Art Trans kembali bersama satu lagi siri pameran bertajuk 'Test Print oleh Cetak Kolek-tif' yang membabitkan artis daripada Cetak Kolektif terdiri daripada Samsudin Wahab, Faizal Suhif, Sabihis Pandi, Zul Husni Mohd Ridhuan, Arson Ong dan Hazul Bakar.

Mereka memperkenalkan teknik cetakan konvensional seperti cetakan sutera saring, lino dan ukir kayu dalam setiap karya sebagai tatapan penonton.

"Cetakan antara medium seni yang dianggap kurang popular berbanding catan, lukisan atau arca.

"Justeru, pameran ini turut mengangkat barisan artis terbabit yang aktif dalam seni cetakan, selain menyuburkan minat terhadap seni cetak dalam kalangan masyarakat tempatan," kata Pengarah HOM Art Trans, Bayu Utomo.

Objektif utama Cetak Kolektif ialah memperkenal dan mempersembahkan keindahan seni cetak malah membantu seni cetak terbabit untuk berkembang dan menarik minat pengumpul agar dapat memahami maksud yang ingin disampaikan.

Selain mengadakan pameran, kumpulan kolektif ini turut menganjurkan bengkel cetakan.

Mereka bukan saja mengetengahkan teknik seni cetakan konvensional, tetapi meneroka pelbagai tek-nik cetakan.

Cetak Kolektif bukan saja bertujuan membuka minda masyarakat mengenai medium seni ini, tetapi memartabatkan seni cetak dalam kalangan generasi muda.

Pameran Test Print berlangsung sehingga 13 Januari depan manakala bengkel cetakan lino diadakan pada 10 Januari.

Galeri yang dibuka dari jam 11 pagi hingga 6 petang dan masuk percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 5:02 AM