BLUE Sky M tiba di Pelabuhan Gallipoli, Itali pada malam tahun baru 2015.
Susunan Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


KAPAL Ezadeen dari Sierra Leone ditunda ke Pelabuhan Corigliano Calabro di selatan Itali. Kebia­saannya, ia membawa ternakan, namun di dalam kapal itu terdapat 400 penumpang termasuk lebih 70 kanak-kanak yang kebanyakan dari Syria yang terdesak memasuki Eropah akibat peperangan.

Sudah beberapa kali kapal ditinggalkan anak kapal dalam cuaca teruk di Laut ­Ionian antara Greece dan Itali. Kapal dengan penumpang itu ditinggalkan tanpa bantuan dalam ribut angin kencang.

Mesej dari Ezadeen mudah dan lemah: 'Tidak ada sesiapa yang mengemudi.'

Kapal Blue Sky M yang mengibarkan bendera ­Moldova ditinggalkan anak kapalnya. Seorang pendatang di atas kapal itu ­membunyikan penggera, tetapi kapal frigat Greek yang berada berdekatan melaporkan tiada apa ditemui sedangkan terdapat 800 ­pendatang yang bersesak-sesak.

Akhirnya pengawal pantai Itali yang menaiki dan me­ngemudi kapal itu ke pelabuhan.

Maurizio Albahari, ahli antropologi dari pelabuhan Gallipoli, Itali (tempat Blue Sky M berlabuh) berkata, ia bukanlah pertama kali kapal kargo besar terbabit dalam perjalanan haram kerana penyeludup berharap rondaan maritim berkurangan sepanjang sambutan Krismas.

Albahari yang juga penolong profesor di Universiti Notre Dame, Amerika Syarikat berkata, kapal besar ini bertindak sebagai 'kapal induk' yang melepaskan pendatang menaiki bot kecil. Tetapi, keadaan laut yang bergelora membuatkan mereka me­ngorbankan Ezadeen dan Blue Sky M yang kedua-duanya kapal lama.

Kapal ini membawa pelarian yang mengelak menjadi mangsa peperangan atau penganiayaan. Ada juga cuba melarikan diri disebabkan kemiskinan atau kelaparan. Sukar untuk membuat perbezaan, tetapi keadaan konflik di Syria yang memasuki tahun keempat dan keruntuhan Libya menyebabkan ramai yang sanggup menanggung risiko melarikan diri ke luar negara.

Pegawai Eropah berkata, pelabuhan Mersin di selatan Turki yang masih berhubung dengan feri ke Latakia di Syria, sering dijadikan pang­kalan untuk memulakan perjalanan dan kapal terbabit belayar melalui Cyprus.

Kapal Blue Sky M dilihat singgah di pelabuhan Latakia, Syria Disember lalu manakala Ezadeen pada Oktober tahun lalu.

Laluan mereka agak sukar dikesan kerana ia sering ­belayar dengan mematikan Sistem Pengenalan ­Automatik menjadikan mereka ­halimunan secara elektronik.

Menurut Albahari, pegawai pelabuhan kecil di Turki, Mesir dan Albania kadang­kala menutup mata terhadap penyeludupan ­manusia.

Di Libya, tiada apa-apa kuasa negeri yang membenarkan bot nelayan Tunisia mengambil bahagian dalam perdagangan haram. Militia tempatan ­Libya me­ngawal dan mengaut keuntu­ngan dari dua laluan asing melalui Sahara. Di sebelah timur pula, Somalia, Eritrea dan Sudan datang melalui al Kufrah.

Penumpang tidak dibekalkan air, makanan atau haba, tetapi perlu membayar antara RM17,894 dan RM32,209 seorang. Justeru, setiap kali penghantaran, ia bernilai sehingga RM35 juta, tetapi kebanyakan pemilik kapal bersedia membayar premium berbanding mengambil risiko mencuba laluan yang lebih murah dari Libya.

Angka daripada agensi sempadan Kesatuan Eropah, Frontex mendapati kira-kira 270,000 pendatang haram cuba memasuki Eropah secara haram pada 2014 dengan peningkatan besar perjalanan melalui timur dan tengah Mediterranean.

Menurut Pertubuhan Antarabangsa Migrasi (IOM), lebih 3,000 pendatang haram mati tahun lalu.

Selama 15 bulan, Itali menjalankan program Mare Nostrum bagi menyelamatkan ribuan bakal pelarian dan pendatang haram di Mediterranean. Tentera laut Itali menukarkan San Giorgio menjadi kapal penyelamat yang dilengkapi hospital, sel penjara dan unit kuarantin untuk mengawal penyakit berjangkit.

"Penyeludup mengambil kesempatan meninggalkan mereka terdedah di dalam bot yang tidak layak belayar kerana menganggap mereka akan diselamatkan dan dibawa ke Itali," ujar Menteri Imigresen United Kingdom, James Brokenshire kepada Parlimen tahun lalu.

Britain enggan menyumbang kepada Operasi Triton Frontex yang menggantikan Mare Nostrum pada ­November dan menyelamatkan kira-kira 11,400 pendatang.

Meskipun, pembabitan bot peronda dari Iceland, Tyr juga membantu membawa lebih 400 pendatang ke pelabuhan di Sicily bulan lalu selepas menyelamatkan mereka daripada kapal yang belayar dari Turki.

Frontex mengakui operasinya agak terhad, dengan sebahagian besar peronda tinggal dalam 30 batu nautika dari pantai Eropah.

Belanjawan kurang satu pertiga daripada Mare Nostrum dan ia hanya mempunyai dua kapal terbang dan satu helikopter serta tujuh kapal peronda.

Kumpulan hak asasi manusia berkata, pendekatan baru itu seperti membiarkan pendatang haram mati lemas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 5:00 AM