Foto Puan Ahmad yang dirakamkan pada 2 Disember 2016 menunjukkan kad pengenalan dan surat bukti dia dilahirkan pada 1896 ketika ditemui di rumah cucunya di Kampung Bendahara. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


Kodiang: Wanita dipercayai tertua di negara ini, Puan Ahmad yang berusia 121 tahun meninggal dunia di rumah cucunya di Kampung Bendahara, di sini, 1.30 tengah hari ini akibat sakit tua.

Anak bongsunya, Tom Kamis, 63, berkata, dia berada di sisi ibunya ketika arwah menghembuskan nafas terakhir.

Menurutnya, ibunya sebelum ini sihat dan tidak mempunyai sebarang penyakit namun baru-baru ini dia kelihatan lemah dan hanya berbaring.

“Mak masih boleh menjamah makanan dan bercakap dengan kami walaupun suaranya agak perlahan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Tok Puan memiliki empat anak berusia 63 hingga 75 tahun, 19 cucu, 70 cicit dan seorang piut dilahirkan pada 1896.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Batu 4, Kampung Bendahara, selepas solat Isyak malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 5:42 PM