SYED Anwar Jamalullail (tengah) bersama Hofbauer (kiri) selepas AGM Nestle, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Nestle (Malaysia) Berhad (Nestle) memperuntukkan modal pelaburan RM200 juta tahun ini bagi kejayaan jenama serta inovasi syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Alois Hofbauer berkata, pihaknya yakin inovasi memacu kepada pertumbuhan produk dan menjadi strategi syarikat bagi mengukuhkan perniagaannya.

Beliau berkata, Nestle memulakan tahun ini dengan baik apabila mencatatkan keputusan kewangan positif bagi suku pertama 2017 disumbang oleh jualan domestik.

“Bagi perbelanjaan modal tahun ini, kami akan menggunakannya untuk semua kategori produk yang ada bagi memastikan kecekapan di seluruh rantaian di samping mengukuhkan promosi perdagangan dan pengguna.

“Tahun ini, syarikat melancarkan 15 hingga 25 produk baru, selain melabur dalam promosi pemasaran dan perdagangan,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) Nestle, di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Nestle Tan Sri Syed Anwar Jamalulllail.

Nestle merekodkan perolehan suku pertama tahun ini RM1.4 bilion, peningkatan 4.4 peratus berbanding RM1.3 bilion dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Syarikat itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) lebih tinggi RM291 juta, peningkatan 5.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu manakala keuntungan selepas cukai (PAT) juga meningkat sebanyak 4.4 peratus kepada RM230 juta bagi suku tahun dilaporkan.

Hofbauer berkata, walaupun keadaan pasaran dijangka mencabar tahun ini, pihaknya yakin asas yang teguh akan membolehkan kumpulan untuk terus mencapai prestasi yang mantap.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 4:13 AM