GAMBAR hiasan
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


Sungai Buloh: Penunggang motosikal maut selepas kenderaan dinaiki dipercayai terbabas melanggar belakang lori di Kilometer 12.9 Lebuhraya Guthrie di sini, semalam.

Dalam kejadian 6.19 pagi itu, lelaki terbabit berusia 24 tahun dalam perjalanan dari arah Rawang menghala ke Shah Alam maut di lokasi akibat kecederaan di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa menunggang motosikal secara laju di lorong kiri laluan terbabit.

Katanya, kejadian menyebabkan mangsa gagal mengawal motosikal lalu melanggar lori yang dipercayai berada di hadapannya.

"Mangsa membuat brek kecemasan sejauh 4.5 meter sebelum merempuh bahagian belakang lori dan tercampak ke lorong tengah. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga.

"Polis akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat berdekatan lokasi bagi mengenal pasti kenderaan disyaki terbabit dengan kemalangan berkenaan bagi siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Maljis yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Kontinjen Selangor Datuk Mohd Fuad Abd Latif terbabit menyaksikan penyerahan Baton Kuasa Ketua Polis Daerah Sungai Buloh oleh Kamarul kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Bentong, Pahang, Superinten Somu Subramaniam yang akan menyandang jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Sungai Buloh yang baharu berkuatkuasa 5 Mei ini.

Bagaimanapun, pada majlis terbabit Somu diwakili oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Md Noor Aehwan Mohamad selepas tidak dapat menghadirkan diri kerana urusan tidak dapat dielakkan.

Sementara itu, Kamarul pula akan bertukar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Mualim, Perak dengan menyandang jawatan yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 2:54 PM