TUAN Ibrahim berucap ketika majlis perasmian Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS. FOTO Azhar Ramli
Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


Kota Sarang Semut: Parti PAS akan muncul sebagai blok ketiga dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang akan datang sebagai alternatif kepada rakyat untuk memilih politik yang lebih cemerlang.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, negara memerlukan blok ketiga dalam percaturan politik semasa apabila kedua-dua blok yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN) dan juga Pakatan Harapan (PH) dilihat berdepan dengan kemelut siasah politik semasa seperti rasuah.

"Parti PAS adalah alternatif kepada rakyat selepas kedua-dua blok dari kanan (BN) dan kiri (PH) sedang bergelut dengan kemelut politik siasah politik mereka apabila ramai yang dilihat terbabit dengan gejala rasuah.

"Oleh hal demikian, Gagasan Sejahtera yang terdiri daripada PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia dan BERJASA sebagai satu perkongsian pintar yang mampu membawa negara ke arah satu kuasa politik yang cemerlang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Ke-58 di Kompleks PAS Kedah, disini, hari ini.

Tambahnya, Gagasan Sejahtera dilihat mampu membawa penyelesaian kepada permasalahan rasuah membabitkan politik yang dilihat sedang berlaku dalam kedua-dua blok berkenaan.

"Kita membawa satu politik yag matang kepada rakyat dan Pemuda PAS harus menjadi pembela kepada rakyat dan tidak terjerat dengan birokrasi pihak musuh yang sengaja melaga-lagakan sesama kita supaya berpecah.

"Janganlah menggunakan politik maki hamun dan gunakanlah bahasa yang berhemah termasuk dalam media sosial kerana itu lebih berakhlak.

"Terus kekalkan PAS menjadi warna hijau selamanya dan bukannya berwarna oren (Amanah) atau biru (Barisan Nasional)," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, bagi mencapai sasaran PAS untuk meraih 40 kerusi Parlimen pada PRU yang akan datang, mereka meletakkan negeri Kedah, Terengganu dan Selangor sebagai negeri yang menjadi sasaran untuk mereka kuasai selain mempertahankan Kelantan sebagai kubu kuat mereka.

Turut hadir adalah Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, timbalannya, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan pimpinan tertinggi Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 12:31 PM