Selat Karimata : Pasukan penyelam memulakan operasi pencarian pagi ini dan berjaya mengangkat dua serpihan milik pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 meskipun cuaca masih buruk.

Pemantauan detikcom dari atas Kapal MGS GeoSurvey di Selat Karimata mendapati pasukan penyelam pertama membawa naik dua serpihan milik pesawat iaitu satu dinding pesawat dan satu kotak berwarna perak dengan tulisan AirAsia berukuran kira-kira 0.5 meter (m) pada 8.30 pagi.

Serpihan itu kemudiannya dihantar ke KRI Banda Aceh yang berjarak sekitar 500m dari lokasi. Operasi kemudian dihentikan sementara kerana cuaca yang buruk dengan hujan dan petir.

Tiga pasukan penyelam diterjunkan hari ini dan pasukan pertama bertugas mengambil serpihan dari bangkai pesawat, pasukan kedua bertugas mengukur dan menganggarkan berat bangkai pesawat manakala pasukan ketiga bertugas untuk memasang beg apungan dan mempersiapkan proses penarikan bangkai.

Setelah ekor pesawat ditemui penyelam pada hari Rabu, operasi besar-besaran dilakukan hari ini untuk mengangkatnya. Ekor pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 ditemui pada koordinat 03.3839S (lintang Selatan) dan 109.4343E (bujur Timur). Di titik koordinat itu sudah ditandakan dengan bola apung di permukaan laut.

Panglima TNI Jeneral Moeldoko juga akan memantau operasi pencarian kotak hitam. Moeldoko sudah bertolak menuju Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah untuk memantau proses pencarian. - detiknews

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 10:33 AM