Keadaan Honda Jazz dinaiki mangsa yang merempuh besi penghadang di Kilometer 253.5 LPT2, dekat Cheneh. FOTO ihsan pembaca
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


Chukai: Suami isteri dilaporkan kritikal selepas Honda Jazz dinaiki bersama tiga anak dan seorang menantu terbabas sebelum merempuh besi penghadang di Kilometer 253.5 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Cheneh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 7 pagi itu, Tengku Hanafi Tengku Hassan, 45, yang duduk di bahagian penumpang depan dan isterinya, Rosmah Ibrahim, 44, yang duduk di belakang, parah di kepala.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu anak pasangan itu, Tengku Amirul Hafiruddin, 21, dipercayai terbabas sebelum merempuh besi penghadang lebuh raya.

Tengku Amirul Hafiruddin cedera di dahi, kaki dan tangan manakala isterinya, Fatin Fatihah Hamzah, 21, yang duduk di bahagian belakang hanya cedera ringan di tangan.

Dua lagi anak pasangan berkenaan iaitu Puteri Arisa, 5, dan Tengku Putera Airil Sharizat, 3, cedera ringan.

Difahamkan, ketika kejadian mereka dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk pulang ke rumah di Taman Saeda, Dungun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superitendan Mohd Said Ibrahim berkata, semua mangsa dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 8:14 PM