Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


Baling: Reman terhadap pemandu Toyota Hilux yang terbabit kemalangan mengorbankan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Baling dan isteri dilanjutkan tiga hari bermula hari ini.

Wanita berusia 37 tahun itu sebelum ini direman lapan hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan polis berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shariffuddin Yusof berkata, perintah reman itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Balkhis Abdul Halim bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Polis memohon perintah reman tiga hari lagi untuk menahan wanita berkenaan bagi menjalankan siasatan lanjut bersabit kejadian itu sehingga 27 April ini," katanya.

Dalam kejadian di Jalan Kupang-Baling, di sini, 7.10 pagi 18 April lalu, Asisten Superintendan Mohd Noor Mat Yaub, 38, dan isteri, Suriya Ab Rahman, 37, yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Teduri, di sini, maut selepas kereta dinaiki bersama empat anak mereka terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain, ketika dalam perjalanan ke sekolah terbabit.

Kejadian berlaku ketika Perodua Myvi dinaiki enam beranak itu berhenti untuk memasuki simpang sebelum dirempuh Toyota Hilux dari belakang.

Kereta berkenaan kemudian terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Honda City.

Kejadian turut menyebabkan empat anak arwah Md Noor berusia antara enam hingga 11 tahun cedera, manakala lelaki berusia 32 tahun yang memandu Honda City, Mohamad Ilyas Abd Razak, 32, parah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 1:13 PM