PENGUNDI beratur sebelum mengundi di sebuah pusat mengundi di Paris, semalam. - AP
AP

Paris: Rakyat Perancis semalam mengundi untuk memilih presiden baru dalam pilihan raya pusingan pertama yang keputusannya secara umum akan memberi gambaran mengenai tahap peningkatan populisme di dunia dan masa depan Eropah.

Kawalan keselamatan ditingkatkan dengan lebih 50,000 polis dikerah mengawal 66,000 pusat mengundi, beberapa hari selepas serangan di Champs-Elysees, Paris, yang menyebabkan seorang polis dan penyerangnya terbunuh.

Pilihan raya presiden kali ini yang pertama kali diadakan dalam keadaan darurat, yang dikuatkuasakan di negara itu selepas serangan di Paris pada November 2015.

Pengundi memilih daripada 11 calon dalam pilihan raya yang dianggap paling sukar untuk menjangka pemenangnya.

Penduduk Paris, Alain Richard berkata: “Pilihan raya ini penting kerana kami perlukan perubahan besar di negara ini memandangkan kita kini berdepan pelbagai cabaran termasuk keganasan.”

Undian pendapat menunjukkan saingan sengit antara empat calon utama yang berusaha melayakkan diri ke pusingan kedua pilihan raya pada 7 Mei ini.

Hanya dua calon teratas layak ke pusingan berkenaan.

Setakat ini calon berhaluan kanan, Marine Le Pen dan bekas menteri ekonomi yang juga calon sentris bebas Emmanuel Macron mendahului, tetapi calon konservatif, Francois Fillon yang juga bekas perdana menteri serta calon berhaluan kanan Jean-Luc Melenchon juga dilihat amat berpotensi.

Kadar pengangguran 10 peratus negara itu, ekonomi yang kurang memberangsangkan serta keselamatan antara isu paling mendapat perhatian 47 juta pengundi.

Pilihan raya itu rata-rata dilihat mampu membayangkan masa depan Kesatuan Eropah (EU) dengan kebanyakan calonnya mempertikaikan institusinya.

Le Pen dan Melenchon — walaupun bertentangan pendirian politik - kemungkinan akan membawa Perancis keluar dari blok 28 negara itu dan mata wang euro seperti berlaku di United Kingdom. Tindakan itu hampir pasti memusnahkan EU sepenuhnya.

Jika calon itu sampai ke pusingan kedua ia mungkin dapat dilihat sebagai kemenangan untuk populisme seperti dilihat dengan kemenangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump serta pilihan Britain untuk keluar dari EU.

Kempen pilihan raya tahun ini melihat pelbagai kontroversi tetapi ada pengundi yang nampak semakin muak dengan politik.

Pengundi, Marie-Christine Colrat berkata: “Terlalu ramai calon bertanding, dan mereka pula calon yang banyak menimbulkan masalah. Saya tidak rasa itu baik untuk Perancis.”

Pilihan raya itu turut diadakan di wilayah jajahan Perancis di luar negara dan keputusannya dijangka diketahui awal hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 8:44 AM