ROZABIL (dua dari kanan) bersalaman dengan ketua pasukan Perlis, Khairi Zainuddin selepas perbincangan di Wisma FAM, semalam.
Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my


Kelana Jaya: Isu rasuah dibangkitkan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) Datuk Rozabil Abd Rahman sebelum ini seakan ‘sembang kosong’ apabila ia dianggap selesai sebaik kemelut tunggakan gaji pemain skuad Singa Utara itu berakhir semalam.

Jika sebelum ini Rozabil yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) cukup lantang mendakwa beliau mempunyai bukti mengaitkan pemain terbabit dengan gejala mengatur perlawanan namun nadanya cukup berbeza pada sidang media selepas mengadakan pertemuan khas dengan 11 daripada 12 pemain yang menuntut gaji tertunggak selama lima bulan musim lalu.

“Kita selesai secara keluarga, tak timbul isu rasuah atau sebagainya. Kita mahu melihat ke depan dan kita mahu pemain ini terus maju bersama pasukan pilihan mereka musim ini,” katanya.

Dalam laporan Arena Metro minggu lalu, Rozabil yang tidak berpuas hati dengan tindakan pemain yang menuntut tunggakan gaji tertunggak dari Jun hingga November tahun lalu mahu pemain Perlis terbabit menerima habuan daripada aktiviti menjual perlawanan tampil membuat pengakuan.

Dan ketika ditanya adakah beliau hanya mendiamkan diri mengenai kes rasuah itu selepas masalah gaji pemain selesai, beliau sekadar memberi jawapan: “Sebelum ini saya nak dapatkan penjelasan daripada pemain dan kita sudah mendapat penjelasan itu. Kita menerima penjelasan yang disampaikan pemain.

Bagaimanapun kes itu tetap mendapat perhatian FAM dan Setiausaha Agungnya Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengesahkan tindakan lanjut bakal diambil untuk menyiasat dakwaan rasuah pemain Perlis itu.

“FAM sudah mengambil langkah dengan memaklumkan kes ini kepada Jawatankuasa Integriti FAM dan mereka sudah menghubungi polis. Kami akan memberitahu jika ada sebarang perkembangan selepas ini,” katanya yang turut hadir pada sidang media itu selepas majlis pembungkusan barangan bantuan mangsa banjir di Wisma FAM semalam.

Sementara itu kes tunggakan gaji 12 pemain Perlis musim lalu selesai selepas pemain berkenaan bersetuju dengan jumlah bayaran ditawarkan PFA hasil perbincangan yang turut membabitkan Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM Datuk Takiyuddin Hassan serta Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) Izham Ismail.

Semua pemain hadir pada pertemuan itu kecuali pemain import Dao Bacary yang menyatakan persetujuan mengenai jumlah bayaran menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Kami akan membuat bayaran (tunggakan gaji) secepat mungkin. Bayaran ini dari poket sendiri. Pemain tidak perlu bimbang kerana kami akan membuat bayaran menerusi FAM. Selepas ini Perlis akan bermain dalam Liga FAM dan kita sudah kenal pasti jumlah kos perbelanjaan jadi kita tidak mahu kes ini berulang. Saya berharap kerajaan negeri dapat memberikan sumbangan musim ini,” katanya yang enggan mendedahkan jumlah bayaran tunggakan gaji pemain itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 6:15 AM