Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


Sepang: Polis Selangor menahan sembilan lagi pelajar dari beberapa sekolah di Klang malam tadi susulan penyertaan dalam kumpulan kongsi gelap Geng 24.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Fuad Abd Latif berkata, pelajar yang ditahan itu adalah dari tiga sekolah di Klang dalam operasi dijalankan pihaknya.

"Mereka yang ditahan membabitkan enam pelajar tingkatan lima, dua tingkatan empat dan seorang tingkatan tiga.

"Berikutan itu, siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung sejauh mana pembabitan mereka dengan kumpulan ini malah, polis Selangor akan terus mengesan saki-baki mereka," katanya kepada pemberita pada Program Larian Santai Polis Diraja Malaysia bersama AirAsia sempena Hari Polis ke-210 di sini, hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui akaun Twitternya memaklumkan, seramai 13 pelajar serta lima bukan pelajar ditahan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) kerana menyertai kumpulan kongsi gelap Geng 24.

Polis mengesan pembabitan pelajar Sekolah Menengah (SM) Andalas, SM Raja Mahadi, SM Shahbandar dan SM Kampung Jawa dalam geng berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 1:36 PM